Sunday, August 21, 2011

Bersedia, mengatur, bertindak dan berubah (ii)




Intervensi Anteseden

Intervensi anteseden bermatlamat untuk mengurangkan kebarangkalian tingkah laku bermasalah berlaku pada masa akan datang. Terdapat tiga strategi yang boleh dipraktikkan , iaitu:

  • Menghapuskan situasi anteseden
  • Mengubah suai persekitaran
  • Menukar presentasi anteseden
  1. Menghapuskan Situasi Anteseden

Dalam kes ibu muda sebelum ini, anteseden yang telah dikenal pasti ialah si ibu serta merta tidak bersetuju membelikan Coklat Cadbury seperti yang diminta oleh anak.

Untuk menghapuskan situasi di atas, si ibu boleh bertindak dengan memastikan dirinya tidak melalui ruangan atau rak terletaknya coklat tersebut.

Dengan cara ini, kita dapat memastikan situasi anteseden yang bersifat negatif itu tidak terus berlaku. Kita telah menghapuskan persekitaran yang mencetuskan masalah tingkah laku tersebut, iaitu tidak melalui kawasan rak coklat.

Bukan semua situasi kita dapat mengelakkan diri. Lebih-lebih lagi apabila barang yang hendak dibeli berhampiran dengan rak coklat atau ketika di kaunter pembayaran, masih terdapat banyak pilihan coklat kegemarannya.

Untuk itu, kita juga boleh bertindak dengan membawa sedikit coklat yang terdapat di rumah itu ke dalam beg dan memberikan kepadanya sejurus sebelum melakukan aktiviti membeli belah.

Melalui cara ini, si anak akan leka dengan coklat di tangannya dan kemungkinan untuk si kecil meminta dibelikan coklat baru adalah rendah. Dengan cara ini, kita telah menghapuskan keinginannya untuk meminta coklat dan seterusnya menghapuskan kebarangkalian si ibu menolak permintaan anak.

Namun, kekerapan memberi coklat setiap kali datang ke pasar raya hendaklah dilakukan pada tahap sederhana. kita khuatir si anak akan mempunyai mind set bahawa aktiviti mengikut ibu ke pasar raya akan menjanjikannya coklat kegemaran.

Cuba kita lihat pada keadaan anak ketika itu terlebih dahulu. Jika si anak kelihatan menunjukkan ciri-ciri untuk melakukan tantrum, baharulah kita laksanakan strategi ini.

Sebagai usaha tambahan, cetuskan perbualan dengan anak sebelum memberikannya coklat supaya ia kelihatan lebih semula jadi seperti berikut:

Sambil si ibu berpura-pura meraba barang di dalam beg tangan, “Adam, ibu terjumpa coklat kegemaran Adam di dalam beg tangan ibu. Adam mahu?”

  1. Mengubah suai Persekitaran

Salah satu strategi mengubah suai persekitaran atau suasana adalah dengan menjadikan aktiviti yang ingin dilakukan tersebut lebih bermakna; iaitu dengan melakukannya bersama-sama anak.

Strategi ini bukan sahaja dapat mencegah masalah tingkah laku daripada berlaku, malah ia mampu menguatkan hubungan antara ibu atau ayah dengan anak.

Berdasarkan kes sebelum ini, si ibu boleh menerangkan kepada anak bahawa mereka akan menjalankan aktiviti membeli barang keperluan di pusat membeli belah ketika di rumah lagi.

Barang-barang yang ingin dibeli disenaraikan dan aktiviti ini boleh dilakukan bersama-sama dengan anak. Ceritakan kepadanya apa yang ingin dibeli dan sekali sekala mengajaknya turut sama berfikir barang yang harus dibeli.

Ketika di pasar raya, teruskan usaha melibatkan anak dalam aktiviti tersebut. Jadikan anak sebagai sebagai pembantu kita atau kita yang menjadi pembantunya ketika memilih barang keperluan.

Antara contoh dialog atau tugasan yang boleh diberikan ialah;

“Tolong ibu ambilkan barang di kiri adik itu?”

“Cuba adik carikan untuk ibu di mana tin milo.”

Dengan cara ini, minda si anak akan menjadi sibuk berfikir untuk membantu kita dan tiada masa berfikir untuk meminta coklat mahupun menunjukkan aksi tantrum kelak.

Kini, banyak pasar raya menyediakan troli-troli kecil. Gunakan peluang ini dengan menyibukkan anak membantu kita dan "meniru" aksi membeli belah kita.



  1. Menukar Presentasi anteseden

Menukar presentasi anteseden bermaksud menggantikan peristiwa atau tindakan yang telah dikenali sebagai anteseden kepada peristiwa atau tindakan yang lain.

Melalui contoh kes ibu muda dengan anaknya, didapati anteseden yang telah dikenal pasti adalah tidak bersetuju dengan serta merta. Meskipun si ibu menyertakan alasan di rumah terdapat banyak lagi, namun si anak tidak akan menghiraukannya kerana informasi pertama yang masuk di fikirannya adalah reaksi negatif ibunya.

Untuk itu, reaksi negatif yang diberikan ibu tadi boleh digantikan dengan sesuatu yang lebih positif, iaitu dengan memberikan anak itu pilihan.

Pilihan di sini bermakna, berikan gambaran pada anak bahawa jika dia memilih untuk memiliki coklat tersebut pada waktu itu, si anak akan kehilangan peluang untuk memiliki sesuatu atau melakukan aktiviti yang turut menjadi kegemarannya sebagai contoh, bermain di taman permainan selepas selesai aktiviti membeli belah.

Di sini, si anak tersebut akan belajar menjadi bertanggungjawab terhadap pilihannya sendiri dan perjanjian boleh dilakukan antara ibu dan anak berdasarkan pilihan yang dibuat.

Tuesday, August 16, 2011

Bersedia, mengatur, bertindak dan berubah (i)

Strategi yang dirancang dan diatur adalah berdasarkan keempat-empat aspek tersebut. Kita akan melaksanakan sekurang-kurangnya empat langkah bagi menangani masalah tingkah laku tersebut.

Sebelum dibincangkan langkah-langkahnya, ada tiga perkara asas yang penting dijadikan pegangan, dalam menjalankan intervensi atau menanganinya, iaitu:

  • Galakkan tingkah laku yang positif
  • Beri dorongan untuk tingkah laku yang positif itu.
  • Fokus kepada langkah pencegahan.

Setelah memastikan tiga perkara asas itu di dalam minda, teliti pelan tindakan yang boleh diambil.

A) Intervensi latar sebelum kejadian

Terdapat dua cara dalam menjalankan intervensi latar kejadian, iaitu:

1. Mengurangkan atau menghapuskan latar sebelum kejadian

Cara ini merupakan cara yang paling mudah dan “straight forward”. Buat persediaan sebelum menjalankan aktiviti yang menjurus kepada masalah tingkah laku tersebut. Segala keperluan atau perkara yang menjadi aktiviti rutin si anak harus dilakukan terlebih dahulu sebelum meneruskan apa-apa sahaja aktiviti yang seterusnya.

Di dalam kes tantrum sebelum ini, kita dapat memastikan si anak mendapatkan tidur tengah harinya terlebih dahulu sebelum pergi ke pusat membeli belah.

“Saya sudah cuba untuk tidurkannya, tetapi dia tetap tidak mahu kerana begitu teruja dan khuatir ditinggalkan!”

Boleh jadi aktiviti ke pusat membeli belah itu dirahsiakan terlebih dahulu dan diberitahu setelah si anak bangun dari tidur tengah harinya Pendekatan yang lebih baik adalah memberikannya penerangan yang 
lengkap.

Bagaimana kita dapat memberikan penerangan lengkap kepada kanak-kanak?

Penerangan lengkap di sini bermaksud menerangkan kepada anak apa aktiviti yang hendak dijalankan pada hari tersebut dan apa yang harus dilakukan si anak sebelum melakukan aktiviti tersebut.

Dalam kes ini, si ibu harus menerangkan kepada anaknya bahawa dia perlu tidur terlebih dahulu sebelum  mengikuti ibu ke pusat membeli belah. Si anak perlu mendapat rehat yang mencukupi supaya tidak penat ketika di pusat membeli belah nanti.

Memberi rasional kepada anak adalah amat penting dan jangan sesekali merasakan anak itu masih kecil untuk memahaminya.

2. Menggalakkan Interaksi Positif

“Bagaimana pula jika saya banyak urusan luar yang harus saya lakukan pada hari itu dan tidak sempat memastikannya mendapat tidur tengah harinya?”

Kadang kala, suasana atau persekitaran yang tegang, kekurangan komunikasi yang efektif antara ibu atau ayah dengan anak, kurangnya pilihan yang dapat dibuat oleh anak dan tiadanya peneguhan tingkah laku positif antara punca masalah tingkah laku.

Dengan merujuk kes sebelum ini, boleh jadi si anak sudah berasa penat dan mengantuk tetapi tidak tahu bagaimana untuk memberitahu ibunya; atau si anak tahu bahawa dia tidak boleh lagi tidur di saat itu selagi tidak berada di rumah seperti biasa; atau si anak khuatir dimarahi jika meminta mahu pulang awal secara tiba-tiba.

Bagi mengelakkan hal ini daripada terjadi, jelaskan kepada si anak terlebih dahulu bahawa adalah tidak menjadi kesalahan untuk dia meminta izin berehat daripada berjalan dengan cara yang elok. 

Berikan contoh ayat atau penunjuk yang boleh diikuti anak. Mengajarkannya skil baru ini iaitu skil meminta izin pasti memakan sedikit masa dan oleh itu, ia harus diingatkan berulang kali.

Contohnya (dialog tunjuk cara)

Selain itu, kita juga boleh memberikan pilihan sama ada mahu berjalan ataupun duduk di dalam troli membeli belah bagi mengelakkannya penat. 

Memberikan pilihan pada anak amatlah penting supaya mereka berasa dihargai.

Sebagai tambahan, memandangkan salah satu asas intervensi adalah memberi fokus kepada langkah pencegahan, si ibu boleh memendekkan masa yang diperuntukkan untuk membeli belah lebih-lebih lagi apabila si anak sudah mula menunjukkan simptom-simptom keletihan.

Akhir sekali, berikanlah penghargaan jika si anak berjaya menunjukkan sikap yang positif pada hari tersebut berbentuk hadiah dan pujian.

“Bagaimana saya dapat berkomunikasi dengan anak yang mempunyai limitasi dalam memahami komunikasi lisan?”

Ada sesetengah kanak-kanak mengalami kesukaran memahami arahan atau komunikasi lisan. Seterusnya kanak-kanak gagal mendapat gambaran yang jelas perkara yang ingin diterapkan oleh ibunya.

Oleh itu, sediakan jadual rutin secara visual. Kanak-kanak mudah belajar melalui gambar atau simbol yang dapat dikaitkannya dalam persekitarannya.

Dalam kes ibu bersama anaknya sebelum ini, si ibu boleh membuat jadual rutin seharian bergambar untuk anaknya dan jadual tersebut diletakkan di dalam biliknya. 

Pastikan penerangan diberikan dahulu pada hari pertama memperkenalkannya.

Lebih menarik lagi, setiap gambar yang dipilih itu dibuat dalam bentuk kad masing-masing, di mana di bahagian hadapannya diletakkan gambar aktiviti yang harus dibuat, dan di belakangnya ada gambar
“smiley”.

Sedikit velcro diletakkan di setiap bucu depan dan belakang kad bagi memudahkan si anak menterbalikkan kad itu setelah selesai melakukannya aktiviti tersebut di atas papan yang disediakan.

Apabila kad itu diterbalikkan, si anak akan mendapat penghargaan melalui “Smiley” yang dilihatnya. Ini akan membantu tingkah laku atau aktiviti yang ingin dilakukan itu diperteguhkan lagi.


Contoh jadual rutin visual bagi aktiviti yang harus dilakukan sebelum tidur



Thursday, August 11, 2011

Dari mana datangnya situasi itu?

Fahami punca atau akar umbi masalah adalah titik permulaannya bagi mengatur pelan tindakan. Ini bertujuan agar langkah-langkah yang diambil lebih sistematik, mudah dan dapat disemak semula.

Tidak dapat dinafikan, terdapat banyak kaedah bagi memahami punca situasi masalah tingkah laku anak-anak seperti kes ibu muda sebelum ini.

Namun, dalam konteks ini, hanya satu kaedah yang akan diadaptasikan dan dibincangkan, iaitu Analisis Fungsi Tingkah Laku. Ia adalah pendekatan yang efektif dan menyeluruh.

Analisis Fungsi Tingkah Laku menekankan proses mengenal pasti sumber yang menyumbang kepada tercetusnya tingkah laku bermasalah, keadaan atau peristiwa yang berlaku sebelum atau selepas kejadian masalah tingkah laku  timbul dan memahami ciri-ciri tingkah laku bermasalah tersebut.

Terdapat empat peringkat yang harus dikenal pasti bagi memahami punca tercetusnya tingkah laku bermasalah itu dengan menggunakan akronim LATA, yang bermaksud Latar, Anteseden, Tingkah laku dan Akibat.

L: Kenal pasti latar sebelum kejadian

Langkah pertama adalah mengenal pasti latar sebelum kejadian itu berlaku. Latar kejadian di sini bermaksud apa sahaja perkara yang berlaku sebelum tercetusnya masalah tingkah laku yang difikirkan menjadi faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Ia dapat berlaku beberapa jam sebelum terjadinya tingkah laku bermasalah mahupun malam sebelumnya.

Bayangkan, kita telah bersengkang mata semalaman hanya semata-mata mahu menyelesaikan kerja pejabat di  rumah agar dapat dihantar kepada bos keesokan paginya.

Apabila pagi menjelang, rakan sepejabat  mahu bersembang-sembang. Tidak semena-mena kita berasa sensitif dan terus memarahi beliau sedangkan perkara yang dibincangkan tiada kaitan dengan diri kita.

Keadaan ini berlaku gara-gara kita tidak mendapat tidur dan rehat yang mencukupi pada malam sebelumnya.

Tidur yang tidak mencukupi dan situasi menyiapkan kerja itulah yang dikatakan latar sebelum kejadian memarahi rakan kita tadi.

Berbalik pada kes ibu muda sebelum ini, didapati si anak tersebut rupa-rupanya terlepas masa tidur tengah harinya hanya gara-gara begitu teruja ingin mengikuti si ibu ke pusat membeli belah.

Apabila sesuatu aktiviti atau perkara yang telah menjadi rutin dan keperluan anak itu terganggu, maka ia boleh menjadi sumber pencetus kepada tantrum tersebut, samalah seperti kes rakan sekerja yang dimarahi tadi.

Latar kejadian terdiri daripada faktor berikut:
  • faktor sosial seperti pergaduhan
  • faktor fisiologikal seperti demam atau letih
  • faktor persekitaran seperti suasana yang bising atau kawasan sesak dengan orang ramai)

A: Kenal pasti Anteseden

Langkah yang seterusnya adalah dengan mengenal pasti anteseden.

Anteseden adalah peristiwa yang berlaku sejurus sebelum kejadian tingkah laku bermasalah timbul. Ia melibatkan apa sahaja perkara yang berlaku dan menjadi pencetus utama kepada masalah tersebut.

Anteseden bertindak sebagai tanda isyarat pemula berlakunya tingkah laku bermasalah.

Dalam kes ibu muda tadi, apabila diteliti kembali, didapati si anak akan menunjukkan aksi tantrumnya itu setiap kali ibunya tidak menunaikan permintaannya untuk membeli coklat Cadbury kegemarannya itu.

Antara anteseden lain yang sering terjadi:
  • arahan lisan
  • kritikan
  • ejekan
  • kurang perhatian


LATA, adaptasi daripada Analisis Fungsi Tingkah Laku.



T: Kenal pasti tingkah laku bermasalah

Kenal pasti kesemua ciri-ciri tingkah laku bermasalah yang telah ditunjukkan. Si anak akan menunjukkan masalah tingkah laku berantai; iaitu bermula dengan tingkah laku berintensiti rendah sifatnya hingga ke tahap serius.

Sebagai contoh, dalam kes tantrum sebelum ini, tingkah laku bermasalah si anak hanya bermula dengan rengekan. Ini adalah masalah tingkah laku berintensiti rendah.

Kemudian situasi berakhir dengan aksi menghempaskan diri ke lantai. Ini adalah masalah tingkah laku serius.

Pada masa yang sama, cuba ingat tingkah laku lain yang dilakukan pada hari-hari lain. Adakah tingkah lakunya konsisten dengan tingkah laku sebelumnya? Dengan cara ini, kita dapat melihat corak atau “pattern” tingkah laku bermasalah si anak.

A: Kenal pasti akibat

Akibat yang dimaksudkan di sini adalah peristiwa atau keadaan yang berlaku selepas tercetusnya masalah tingkah laku tersebut.

Dengan merujuk kes tantrum sebelum ini, apakah tindakan yang telah dilakukan si ibu dalam menangani masalah tingkah laku tersebut? Adakah si ibu terus marah? Atau memberikannya barang seperti yang diingini?

Reaksi pertama ini amat penting diteliti kembali supaya mudah untuk kita jalankan semakan semula dan laksanakan pelan tindakan kita kelak!

“Saya sudah teliti keempat-empat aspek di atas. Jadi, apakah yang harus saya lakukan seterusnya?”

Akan dibincangkan di dalam post yang seterusnya.

Wednesday, August 10, 2011

Tolonglah Ibu, Jangan Begini


Mata melilau-lilau mencari barang-barang keperluan rumah di sebuah pasaraya membeli belah terkemuka.

Sambil menyorong troli sarat dengan barang-barang bermacam jenis, sama saratnya otak dengan pelan yang dirancang mahu dilakukan, tiba-tiba anak kecil berusia 4 tahun merengek-rengek meminta dibelikan coklat yang kelihatan di rak.

Oleh kerana masih terdapat banyak lagi coklat dengan pelbagai perisa di dalam peti ais di rumah, permintaan anak itu tidak ditunaikan serta-merta dengan alasan di rumah banyak lagi.

Rengekan bertukar menjadi jeritan. Keadaan menjadi berserabut. Berkali-kali dipujuk, jeritan menjadi tangisan. Pujukan bertukar marah. Tangisan pula ditambah aksi menghempaskan diri ke lantai.

Keadaan haru biru. Malu apabila makin ramai yang mula pandang-pandang dan jeling-jeling. Buntu. Mati kutu dibuatnya!

"Apa harus saya lakukan?"

Pernahkah drama ini berlaku ke atas diri kita?

Perbuatan menghempaskan diri ke lantai, menangis atau menjerit secara berlebihan seperti situasi di atas adalah antara ciri-ciri tantrum.

Tantrum, satu episod ekspresi anak-anak yang disebabkan oleh rasa marah dan kecewa lantaran keinginan atau kehendak mereka tidak dipenuhi.

Kebiasaannya, tantrum akan mula ketara ditunjukkan oleh anak-anak berusia 2 hingga 4 tahun, dan ada juga yang mula menunjukkan ciri-ciri tantrum seawal 15 bulan dan boleh berlanjutan hingga ke usia 6 tahun.

Antara ciri-ciri tantrum yang kebiasaannya diekpresikan adalah:

• Menangis berlebihan dan berlanjutan.
• Menjerit dan meraung.
• Menghempaskan diri ke lantai.

Ada juga yang yang boleh menjadi lebih ekstrim sehingga dapat mencederakan diri sendiri atau yang lain seperti:

• Menarik-narik rambut sendiri dengan kuat.
• Menghentak-hentakkan kepala ke dinding.
• Membaling-baling barang ke arah orang lain.
• Menggigit orang lain.

Bagaimana caranya untuk menangani masalah ini? Akan dibincangkan di dalam post yang seterusnya! (^________^)